“Menjana Manfaat Untuk Pelajar”
Firman Allah S.W.T:
لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٞ
“Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Ali Imran: ayat 92)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ
إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan baginya” (HR Muslim)
Mutiara Hadis
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا
وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmizi)
Pengajaran:
1. Taqwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat.
2. Taqwa menurut Imam At-Tabari adalah beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah, meninggalkan perkara yang dilarang Allah dan melaksanakan perintah serta sangat waspada terhadap siksaan Allah jika meninggalkan petunjuk yang telah diketahui
3. Bersegeralah melakukan kebaikan setelah menyedari melakukan kejahatan atau maksiat. Antaranya dengan beristighfar, bersedekah dan sebagainya agar menjadi penyebab kepada penghapusan dosa.
4. Para ulama’ bersepakat bahawa kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sahaja. Adapun dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh, memakan riba, meminum arak dan selainnya tidak akan terhapus kecuali dengan taubat nasuha.
5. Setiap Muslim hendaklah bersungguh-sungguh menjauhi amalan kejahatan dan memperbanyakkan amalan kebaikan serta menghias diri dengan akhlak terpuji.