Pengenalan

Wakaf adalah salah satu bentuk sedekah yang dituntut dalam Islam. Ianya merupakan satu cara pengagihan harta yang diberikan kepada pihak tertentu dengan niat yang tertentu dan untuk dimanfaatkan secara berterusan bagi menyediakan keperluan atau kemudahan serta membangunkan ekonomi.

Definisi

Perkataan wakaf berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud terhenti atau tertahan. Manakala dari sudut syarak atau istilah ialah apa-apa harta yang yang ditahan hak pewakaf yang membolehkan untuk dinikmati  manfaat atau faedahnya untuk apa-apa tujuan kebaikan atau kebajikan  sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas dengan niat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Rukun Wakaf

  1. Pewakaf
  2. Harta yang diwakafkan
  3. Penerima wakaf
  4. Lafaz wakaf

Hikmah Berwakaf

  1. Pengabdian diri kepada Allah s.w.t
  2. Membersihkan harta
  3. Menghapuskan sifat tamak dan bakhil
  4. Berkongsi manfaat kepada orang lain yang memerlukan
  5. Mengeratkan hubungan ukhuwah sesama manusia
  6. Memperoleh kebaikan dan pahala berkekalan di dunia dan di akhirat

Jenis-jenis Wakaf

  1. Wakaf Khas – Iaitu pewakaf mewakafkan hartanya untuk tujuan tertentu seperti membina masjid, sekolah dan sebagainya
  2. Wakaf Am – Iaitu pewakaf mewakafkan harta untuk tujuan kebajikan Islam semata-mata tanpa ditentukan tujuan yang khusus

Wakaf Tunai

Wakaf tunai termasuk kategori wakaf am iaitu berwakaf dengan menggunakan wang tunai yang dikumpul dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan yang diamanahkan untuk mengurus wakaf. Wang wakaf yang diterima daripada pewakaf akan dilaburkan ke dalam pelaburan patuh syariah atau ditukarkan kepada aset atau harta kekal yang mana pendapatan atau manfaatnya akan digunakan untuk tujuan kebajikan seperti pendidikan, perubatan, penyelidikan dan kemaslahatan umum.