Model Wakaf Pendidikan MAIWP
Wakaf Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) telah memperoleh kelulusan sebagai mutawalli bagi pelaksanaan Wakaf Pendidikan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 08 Nov 2018. Antara matlamat penubuhan Wakaf KPTM adalah sebagai satu alternatif untuk mengumpul dana bagi menyediakan keperluan atau kemudahan bagi manfaat asnaf pelajar dan staf serta program pembangunan pendidikan di KPTM berlandaskan syariah Islam. Justeru, satu Jawatankuasa Wakaf KPTM telah diwujudkan yang berperanan sebagai pemegang amanah untuk mengurus dan mengendalikan dana wakaf mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah pengawasan MAIWP. Kutipan wakaf KPTM akan melibatkan wakaf tunai daripada pewakaf-pewakaf yang terdiri daripada warga KPTM & UPTM, Alumni KPTM & UPTM, organisasi atau badan-badan kerajaan dan swasta dan orang awam.
Dana Wakaf Tunai Pendidikan KPTM (DWTP KPTM)
DWTP KPTM merupakan program penjanaan dana berlandaskan konsep Wakaf Am melalui sumbangan berbentuk tunai di mana pewakaf mewakafkannya kepada KPTM sebagai pemegang amanah dengan niat kerana Allah S.W.T dan juga bagi tujuan kemajuan dan kepentingan ilmu sejagat.
Operasi DWTP KPTM ini tidak melibatkan program Wakaf yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.